Kandungan
Sembahyang adalah kewajipan asasi umat Islam. Sembahyang itu tiang agama, meninggalkan sembahyang bererti merobohkan agama. Tegak sembahyang, tegaklah agama. Dalam apa jua situasi dan kondisi seseorang Islam, sembahyang wajib dipelihara dan dikerjakan. Oleh kerana itu, kewajipan mengerjakan sembahyang jangan sekali-kali diringan-ringankan, apa lagi meninggalkannya.
Sembahyang adalah penyelamat dan mencegah daripada perbuatan mungkar. Di dalam buku ini dijelaskan fadhilat dan manfaat ibadat sembahyang selain ia merupakan kewajipan kita sebagai orang Islam.
Buku ini ditulis oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam berdasarkan rancangan Bersama Mufti sempena sambutan Isra' dan Mi'raj 1428 Hijriyah yang disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei yang diolah, ditambah dan disesuaikan sehingga menjadi sebuah buku yang sangat berguna untuk dijadikan panduan, bimbingan dan kesedaran minda.
Di dalam buku ini juga dikenalkan belenggu dan gangguan syaitan durjana supaya orang Islam tidak mengerjakan sembahyang. Bermacam-macam belenggu dilakukan oleh syaitan untuk menggoda umat Islam. Bagaimanakah caranya untuk membuka ikatan belenggu syaitan itu? Buku ini memberi bimbingan, tuntunan dan rahsia membuka ikatan belenggu tersebut.
Selain itu, azab kerana meninggalkan sembahyang juga turut dipaparkan di dalam buku ini.